Pelan pembangunan Terengganu diteruskan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan memastikan pelan pembangunan yang dirancang di Terengganu diteruskan tanpa gangguan supaya impian rakyat menikmati kemajuan ketika menolak pentadbiran Pas pada pilihan raya umum 2004 menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu memastikan Terengganu mendapat kemajuan seimbang dalam pelbagai bidang merangkumi kemudahan kesihatan dan perubatan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Abdullah berkata, sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, banyak projek berimpak besar yang dirancangkan dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

"Sebab itu kita mahu wakil (rakyat) yang sama dengan kita seperti sebelum ini bagi memudahkan kita bekerja," katanya pada majlis peletakan batu asas Kompleks Pakar Materniti dan Psikiatri bernilai RM115 juta di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican serta calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerjasama baik antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berlangsung sekarang harus meliputi semua lapisan, termasuk peringkat wakil rakyat bagi memudahkan pelaksanaan setiap projek dirancang.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri pada 2004, pelbagai projek untuk rakyat sudah dilaksana, termasuk penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lebuhraya Pantai Barat (LPT) Fasa II.

"Apa yang kita nak buat ini (pembinaan kompleks pakar) juga satu lagi kejayaan yang dibawa BN di Terengganu iaitu projek impian orang Terengganu," katanya sambil menambah projek itu juga ada hubung kait dengan agenda lebih besar kerajaan iaitu pembangunan modal insan.

Beliau berkata, pembangunan ilmu pengetahuan untuk memacu kecemerlangan ummah hanya dapat dijana dan disuburkan lagi jika rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan bermutu. Selain itu, kesihatan yang baik juga adalah asas kepada kesempurnaan ibadat.

Abdullah berkata, sejak BN mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004, tahap kemiskinan negeri ini juga berjaya dikurangkan dari 15.4 peratus kepada 6.5 peratus sekarang. Selain itu katanya, Terengganu juga berada di tempat paling atas daripada segi pencapaian dalam peperiksaan awam yang kejayaan itu tidak mudah dicabar pelajar di negeri lain.

- Berita Harian Pelan pembangunan Terengganu diteruskan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.