PBB panggil sidang tergempar

Usaha Malaysia yang mahukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Sesi Tergempar Khas membincangkan isu keganasan berterusan Israel ke atas penduduk Palestin berhasil apabila badan dunia itu memutuskan memanggil sidang itu di New York, hari ini 15 Januari 2009

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau sebenarnya telah dua kali menulis surat kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Miguel Brockman masing-masing pada 7 Januari dan 10 Januari menggesa diadakan sesi tergempar tersebut.

Pada awalnya, Brockman telah mengeluarkan notis kepada semua anggota PBB untuk mengadakan sesi tersebut pada 8 Januari lalu tetapi menangguhkannya apabila Majlis Keselamatan bersidang dan meluluskan Resolusi No. 1860 yang kemudiannya tidak dipedulikan oleh Israel.

“Bagaimanapun saya rasa lega hari ini apabila menerima sepucuk surat daripada Brockman yang mengakui menerima kedua-dua surat saya dan memberitahu bahawa selaku Presiden UNGA, beliau memutuskan untuk memanggil semula Sesi Tergempar Khas itu pada Khamis di New York.

“Ini bermakna sesi itu akan berlaku waktu malam esok di Malaysia kerana perbezaan waktu 12 jam antara New York dan Kuala Lumpur.

“Saya berpuas hati bahawa segala usaha Malaysia setakat ini tidaklah sia-sia. Matlamat pertama agar sesi tergempar itu diadakan. Insya-Allah,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Abdullah berkata, dalam surat Brockman kepadanya bertarikh 12 Januari lalu, Presiden UNGA itu memberitahu, pihaknya mengambil berat terhadap keadaan yang sangat kritikal di Gaza.

Kata Perdana Menteri: “Beliau (Brockman) sangat menghargai pendirian tegas yang telah diambil Malaysia.

“Sebenarnya beliau mengharapkan banyak lagi negara lain bersedia seperti Malaysia tampil mengutuk kekejaman dan kezaliman serta menuntut secara nyata dan tegas bahawa pihak PBB mesti bertindak tegas agar matlamat yang dikehendaki tercapai.”

Menurut beliau, matlamat yang dikehendaki PBB di Gaza adalah seperti berikut:

- Gencatan senjata mesti dipatuhi oleh semua pihak di Gaza.

- Tentera Israel mesti berundur dari bumi Gaza.

- Kepungan yang dikenakan oleh Israel terhadap Gaza mesti dihapuskan.

- Sekiranya semua ini masih tidak dilakukan oleh pihak Israel, maka Majlis Keselamatan PBB mesti meluluskan penubuhan Pasukan Pengaman PBB untuk menguatkuasakan matlamat PBB itu.

Isnin lalu, Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar dan mengambil ketetapan antara lain menggesa UNGA mengadakan Sesi Tergempar Khas di bawah Resolusi 377A(V) Tahun 1950. PBB panggil sidang tergempar

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.