Maybank dan NSTP tubuh Tabung untuk Palestin

Tabung NSTP Untuk Gaza kelolaan kumpulan akhbar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mendapat perhatian Maybank yang menawarkan rangkaian dan sistem penyampaian elektroniknya bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan.

Maybank bekerjasama dengan menawarkan rangkaian perbankan untuk memudahkan penderma sama ada menerusi cawangan bank itu di seluruh negara, www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di lebih 2,700 mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata usaha NSTP membantu rakyat Palestin yang teraniaya akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza sangat bermakna dan diharap kemudahan yang disediakan akan menambah jumlah kutipan.

"Sebagai syarikat korporat, ini tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat yang memerlukan dengan mempermudahkan sistem penyampaian untuk menggalakkan orang ramai menghulurkan sumbangan mereka," katanya semalam.

Sementara itu, RM34,323 lagi berjaya dikumpul menjadikan kutipan keseluruhan Tabung NSTP Untuk Gaza kepada RM318,643 setakat jam 5 petang semalam.

Eksekutif Kanan, Unit Kebajikan NSTP, Aidah Nordin, berkata sejak dilancarkan Isnin lalu, kutipan bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin turut diterima daripada sektor korporat, individu dan badan kebajikan.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh disampaikan terus kepada Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau akaun Maybank 514105-320501, atas nama NSTP Fund For Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan kepada pejabat NSTP seluruh negara serta syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8tv, ntv7 dan TV9 selain rangkaian radio miliknya. Tabung NSTP Untuk Gaza dibuka sehingga 7 Februari ini.

- Berita Harian Maybank dan NSTP tubuh Tabung untuk Palestin

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.