Mampukah Obama selamatkan dunia?


Setelah mencapai kemenangan besar dan penuh makna dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada November lepas, tarikh keramat 20 Januari ini bakal menobatkan Barack Obama sebagai pemimpin kuasa besar dunia.

Tarikh 20 Januari ini sememangnya telah menjadi tarikh tradisi pelantikan Presiden AS setiap kali tamatnya pilihan raya.

Saat ini sememangnya dinanti-nantikan oleh penduduk AS serta kebanyakan penduduk dunia memandangkan beliau telah mencipta sejarah sebagai presiden pertama dalam sejarah AS dari golongan kulit hitam.

Kemenangan beliau itu bukan sahaja telah mencipta sejarah malah turut memberi impak yang sangat besar kepada sebilangan penduduk dunia terutama mereka yang terkesan akibat kesilapan pentadbiran Presiden George W. Bush selama ini.

Kebanyakan kita juga seolah-olah turut gembira dengan sejarah yang dicipta Obama kali ini malah ada yang beranggapan kemenangan beliau ini umpama watak adiwira yang mampu membawa keajaiban kepada dunia.

Bagaimanapun, Obama juga manusia biasa seperti kita semua dan adalah mustahil beliau tidak akan melakukan kesalahan dan kesilapan namun disebabkan kedudukan beliau sebagai pemimpin negara kuasa besar sedikit sebanyak memberikan harapan dan sinar kepada dunia.

Hakikatnya semua keajaiban ini tidak akan berlaku dalam tempoh sekelip mata malah boleh dikatakan apa saja masalah membabitkan umat Islam mungkin tidak akan kemana-mana, hanya berlegar di ruang lingkup meja persidangan dan rundingan sahaja.

Belum sempat Obama mengangkat sumpah, peristiwa kekejaman Israel terhadap Palestin kembali berulang pada 27 Disember lepas dan setakat ini tiada sebarang penyelesaian yang nyata diambil oleh AS selain mengeluarkan kenyataan yang dilihat pro-Israel.

Malah Obama sendiri dilihat terlalu takut untuk mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kekejaman ini, pendekatan yang sangat berbeza berbanding peristiwa serangan berdarah oleh militan Islam di Mumbai sebelum ini.

Sehingga kini setelah masuk minggu ketiga kekejaman Yahudi di Gaza, masih tiada sebarang perubahan berlaku dan adakah kita perlu berharap akan berlaku sebarang perkembangan drastik di bawah pentadbiran Obama mengenai nasib penduduk Palestin.

Bagi Obama, masalah yang melanda Palestin ini hanyalah sekelumit dari masalah yang bakal ditanggungnya sebagai Presiden AS yang ke 44.

Beban utama yang ingin diselesaikan beliau pastinya masalah kegawatan ekonomi negaranya yang akhirnya melimpah kepada kebanyakan negara di dunia, berpunca dari kesilapan pentadbiran Bush.

Jutaan penduduk AS dari pelbagai sektor antaranya perbankan, automotif dan industri hilang pekerjaan akibat dari penguncupan ekonomi dan hilangnya kuasa membeli pengguna.

Pelbagai polisi dan pembaharuan ekonomi dijanjikan Obama dalam kempen pilihan raya lepas dan sememangnya semua mata kini tertumpu terhadap penyelesaian yang akan dilakukannya.

Obama akan menandatangani rang undang-undang untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi sebanyak AS$775 bilion yang akan dibelanjakan dalam masa dua tahun.

"Ketika ini adalah masa yang paling sesuai untuk bertindak dan kita perlu bertindak sekarang bagi menangani krisis dan momentum akibat kemelesetan, atau kita akan menjalani kehidupan yang dramatik dalam tempoh beberapa tahun lagi kerana kegagalan kita bertindak sekarang," kata Obama.

Secara jujurnya kita mungkin bergantung harap dalam usaha beliau memulihkan ekonomi kerana kebanyakan negara di dunia sangat bergantung kepada AS sebagai penaung ekonomi mereka.

Bagaimanapun nasib umat Islam tidak banyak berubah walaupun darah Obama yang mengalir mempunyai pertalian yang kuat dengan Islam melalui bapanya.

Memang benar Obama mencipta sejarah sebagai Presiden AS pertama dari golongan kulit hitam dan dunia boleh berharap beliau akan bertindak lebih adil terutama dalam isu dan polisi hubungan luar dan antara negara.

Namun siapa pun presiden tanpa mengira kaum dan warna kulit, nasib umat Islam pastinya akan terus tersisih kerana segala acuan untuk memerintah telah pun siap disediakan.

Acuan ini yang disediakan oleh golongan yahudi yang menguasai AS secara di belakang tabir akan terus diguna pakai oleh Obama sebagai Presiden yang menggantikan Bush.

Mungkin sekadar pengharapan namun bagaimana kita mampu berharap berlebihan dengan Obama jika nasib golongan kulit hitam sama ada di AS dan negara lain masih belum tentu jika hendak dibandingkan dengan kehidupan lebih baik golongan yahudi dan kulit putih.

1 comment... add one now

Unknown Unknown Isnin, 19 Januari 2009 pada 1:54:00 PG SGT
entahla, semua sama je...janji manis sebelum dapat pangkat

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.