Lagu Untukmu juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 23

Lagu Untukmu ciptaan Taja, Tass dan Lan dan lirik oleh Taja dan Tass menafikan kekuatan 13 sentuhan lain untuk menjulang trofi utama, Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) serta membawa pulang wang tunai RM25,000, malam tadi.

Lagu dinyanyikan Meet Uncle Hussein turut menambah RM12,000 lagi apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Pop Rock, mengetepikan saingan daripada empat lagu lain yang bertanding dalam kategori itu.

Kedua-dua kemenangan itu melayakkan mereka berkongsi habuan keseluruhan RM37,000 pada malam AJL23 yang dipancarkan secara langsung oleh TV3 dari Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini.

Hadiah kepada pemenang kategori utama AJL23 disampaikan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Abdul Mutalib Razak serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Turut menyerlah pada malam pengiktirafan untuk komposer, penulis lirik dan penyanyi tempatan adalah sentuhan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosli dendangan Farawahida menerusi lagu Persoalan Cinta yang dinobatkan sebagai juara kategori etnik kreatif.

Sementara itu, lagu Sampai Syurga hasil karya Audi Mok dan Ahmad Izham Omar serta lirik dan nyanyian Faizal Tahir diumumkan pemenang kategori Balada. Kemenangan itu melayakkan mereka berkongsi wang tunai RM12,000.

Faizal Tahir yang memberikan persembahan bertenaga ketika mengalunkan lagu Sampai Syurga berjaya mencuri perhatian juri profesional apabila diangkat pemenang Persembahan Terbaik.

Bertanding untuk kategori Balada, kemenangan itu melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Trofi Vokal Terbaik juga menjadi milik Faizal Tahir yang memberi penghayatan terbaik ketika mempersembahkan lagu Sampai Syurga.

AJL23 mempertandingkan 14 lagu, tiga mewakili kategori Etnik Kreatif iaitu Doa Dalam Lagu ciptaan Ajai dan lirik Loloq dinyanyikan Zahid dan Heliza, selain Dusta Berkalang (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya/Aiman) dan Persoalan Cinta (Julfekar/Ku Seman & Izza Rosley/Farawahida).

Balada pula diwakili enam lagu iaitu Sampai Syurga (Audi Mok/Faizal Tahir), Bila Nak Saksi (Tam/Loloq/Spider), Dingin (Azlan Abu Hassan/Azalea/Ziana Zain), Hanya Di Mercu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan/Ayu (OIAM), Cuba (Audi Mok/Faizal Tahir) dan Lagu Kita (Aizat).

Pop Rock pula menyandarkan kepada lima ciptaan iaitu Kalis Rindu (Aidit Alfian/Ad Samad/Elyana), Lagu Untukmu (Taja, Tass, Lan/Taja & Tass/Meet Uncle Hussein), Yang Pernah (Estranged), Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Layla Ismail/Stacy) dan Bukan Di Sini (Zimi & Aremeer/One/Sofaz). Lagu Untukmu juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 23

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.