Kesemua ahli Parlimen kembali KL, Kuala Terengganu 'sunyi' sejak pagi (PRK Kuala Terengganu)

Selepas hampir seminggu dibanjiri ahli-ahli Parlimen, kawasan Kuala Terengganu yang menyaksikan pilihan raya kecil membabitkan tiga penjuru, hari ini kelihatan 'sunyi' secara tiba-tiba.

Perkembangan itu disumbangkan oleh keputusan kerajaan untuk mengadakan sesi khas sidang Parlimen petang ini bagi menetapkan pendirian dan inisiatif Malaysia selanjutnya untuk menggerakkan masyarakat antarabangsa dalam konflik di wilayah itu dan kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin.

Kesemua anggota Dewan Rakyat sama ada kerajaan dan pembangkang dijadual membahaskan konflik berdarah itu pada sidang khas mulai pukul 2 petang ini.

Sehingga malam tadi, ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat berkempen untuk calon parti masing-masing menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Antara ahli-ahli Parlimen yang berada di sini semalam ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Najib selepas berada hampir setiap hari kecuali Rabu lalu telah kembali ke ibu negara untuk menjayakan sidang khas itu.

Beliau dijadual kembali ke sini esok.

Sehingga malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berada di sini sebelum melangkah semula ke Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi DAP pusat yang berada di sini petang semalam berkata, pertemuan hari ini penting untuk menyatakan kesatuan pandangan dan pendirian ahli-ahli Parlimen dan parti politik dalam soal konflik Palestin-Israel.

Tan ditemui selepas perasmian LCD raksasa sumbangan DAP untuk digunakan oleh calon PAS dalam kempen di sini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada perasmian itu telah meninggalkan Kuala Terengganu sejurus selepas majlis itu.

Tinjauan mendapati tiada pemimpin PAS kalangan ahli Parlimen yang berceramah malam tadi.

Ada yang menuju ke Kuala Lumpur pagi ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual memulakan sidang khas dengan membuat ucapan dan disokong oleh Najib Tun Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dijadual membuat ucapan berada di sini sehingga Rabu lalu.

Ahli-ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat dijadual kembali semula mulai malam ini.

- mstar Kesemua ahli Parlimen kembali KL, Kuala Terengganu 'sunyi' sejak pagi (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.