Isu dibangkit Pas tidak sukar diatasi - PM (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya segala isu yang dibangkitkan Pas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi oleh Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, perkara yang paling penting ialah tentang soal untuk memastikan keyakinan para pengundi kepada BN.

''Isu yang dikemukakan Pas boleh diatasi, bukan satu perkara yang sukar. Yang pentingnya sejauh mana rakyat yakin dengan kita.

''Oleh sebab itu, perlu untuk kita memberi penerangan tentang apa yang BN dapat lakukan selain kemampuan serta keupayaan calon BN dalam memberi khidmat kepada rakyat di kawasan ini," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Belia Bersama Perdana Menteri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said.

Abdullah berkata, pilihan raya kecil Sabtu ini mempunyai signifikan kepada BN khususnya dalam menunjukkan bahawa rakyat masih mahukan BN.

Selain itu, juga katanya, ia bagi memastikan wakil BN terus mewakili kawasan ini dan seterusnya mampu memberikan khidmat yang terbaik seperti aspirasi parti kepada semua wakil rakyat BN.

''Saya berkeyakinan yang Wan Ahmad Farid mampu menjalankan kerja dengan baik. Yang pentingnya beliau mesti kerja kuat," jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan yang dikesan beliau pada lawatan kali ini berbanding lawatan kali pertama minggu lalu, Abdullah berkata, sentimen kali ini jelas lebih baik.

''Insya-Allah kita boleh menang tetapi kita kena kerja terus, kerja keras. Dua hari yang tinggal ini mempunyai makna yang besar (dalam berkempen)," ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, apa yang akan berlaku di Kuala Terengganu Sabtu ini ialah untuk menjamin kesinambungan supaya perjuangan itu dapat diteruskan.

''Ada orang kata kalau kalah pun kerajaan tetap BN, kalau menang pun tak lebih kuat kerana menggantikan yang telah pergi. Tetapi yang pentingnya kita mahu kesinambungan daripada segi pembangunan yang mesti dijalankan,'' katanya.

- Utusan Isu dibangkit Pas tidak sukar diatasi - PM (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.