Hulurkan derma, bantu pulih semangat Palestin

Penderitaan rakyat Palestin di Gaza semakin mencengkam jiwa kita. Hari demi hari kawasan penempatan mereka dibedil dengan bom dan tembakan senjata tentera Zionis Israel.

Setiap hari ada sahaja rakyat Palestin yang terkorban. Angka rakyat Palestin yang terkorban kini mencapai 1,000 orang.

Apa yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza mengundang simpati mendalam kepada seluruh rakyat negara ini untuk membantu meringankan keperitan dan kesengsaraan hidup mereka.

Selain kempen memboikot produk Amerika Syarikat dan Israel, kita juga perlu mempertingkatkan usaha mengumpul wang derma untuk membantu rakyat Palestin.

Beberapa syarikat, media, badan bukan kerajaan telah menubuhkan tabung derma kemanusiaan untuk Gaza. Ia bertujuan untuk meringankan beban penderitaan rakyat Palestin yang kini menghadapi tindakan ganas dan tanpa perikemanusiaan oleh rejim Israel.

Kita telah lihat beratus penduduk Gaza baik kanak-kanak, wanita dan warga tua yang cedera parah. Banyak penduduk sudah tiada tempat berteduh setelah diranapkan oleh bedilan bom Zionis.

Dalam tempoh dua minggu sahaja begitu banyak kemusnahan dialami oleh penduduk Gaza. Kemudahan-kemudahan awam seperti masjid, sekolah serta bekalan air dan elektrik yang musnah perlu dibina dan dibaik pulih semula.

Kesan selepas pencerobohan tentera Zionis itu perlu kita fikirkan. Sudah tentu penduduk Palestintiada keupayaan dan kemampuan kewangan untuk memulihkan Gaza seperti sebelum ini.

Di sinilah kita patut memainkan peranan dengan menghulur derma bagi memulihkan semangat mereka untuk terus hidup dan berjuang.

Kita bersyukur, apabila sesuatu tabung derma untuk membantu mangsa peperangan atau bencana alam, rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemurah akan menghulurkan bantuan.

Setiap hari, ada sahaja penderma yang menghulurkan wang ke dalam tabung-tabung derma. Bagi yang kaya, mereka menghulur dalam jumlah yang besar, manakala yang miskin sekadar wang kecil. Namun, nilainya tetap sama di hadapan Allah.

Kepada rakyat Malaysia, berilah apa yang termampu, bantulah saudara-saudara kita yang sangat menderita di sana.

Di samping niat untuk membantu rakyat Palestin, kita juga perlu membuka mata bagi mengawasi individu atau kumpulan tertentu yang menyamar sebagai pengutip derma.

Bagi mengurus tabung bantuan Palestin yang diwujudkan pihak yang prihatin di seluruh negara, kita minta ia hendaklah diselaraskan.

Ada baiknya kutipan derma diserahkan kepada Wisma Putra supaya ia diselaraskan dengan sebaik-baiknya dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan di Palestin.

Penyelarasan hasil kutipan itu akan mempermudahkan pembelian barangan bantuan termasuk ubat-ubatan dan keperluan lain. Penyelarasan wang tabung kemanusiaan itu perlu supaya tidak timbul rungutan dan persoalan bagaimana wang derma itu digunakan. Hulurkan derma, bantu pulih semangat Palestin

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.