Elak episod sedih di palestin berlaku di Malaysia

Dunia amat mengetahui kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin akibat tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis. Namun keprihatinan dunia langsung tidak diendahkan oleh Israel jauh sekali mengundang ketakutan dalang di sebalik kekejaman itu iaitu Amerika Syarikat (AS).

Dengan angkuh juga resolusi Perhimpunan Khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar gencatan senjata di Genting Gaza dikuatkuasakan telah ditolak mentah-mentah.

Malaysia sendiri amat prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk Palestin. Didorong oleh keprihatinan itu juga negara mendesak supaya perhimpunan agung khas itu diadakan.

Dan hari ini satu lagi lambang keprihatinan terhadap tragedi di Genting Gaza diangkat. Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang berkumpul di Dewan Rakyat untuk membahaskan keganasan rejim Zionis atas nama kemanusiaan.

Belum ada negara-negara lain terutama di Asia Barat yang menunjukkan keprihatinan sedemikian rupa, justeru apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini semestinya menjadi satu lagi simbol kemanusiaan yang menolak tepi fahaman politik.

Semestinya sesi perbahasan akan berlangsung dengan matang lantaran tiada apa yang perlu dibangkang dalam isu Palestin.

Usul yang diluluskan kelak menggambarkan kesepakatan antara penyokong kerajaan dan pembangkang apabila berhadapan dengan isu-isu sejagat.

Hakikatnya, banyak yang mesti diteladani daripada episod sedih yang berlaku di bumi Palestin - biarpun jaraknya beribu batu dari Malaysia tetapi keadaan yang sama boleh saja menimpa negara ini jika kita tidak berhati-hati.

Semangat perpaduan dan sayangkan negara terutama di kalangan generasi muda mesti dipupuk untuk mengelak misi 'penjajahan' melarat ke tanah air kita.

Bahawa keadaan dunia yang semakin gawat baik dari segi politik, sosial dan ekonomi menuntut rakyat berfikir panjang supaya apa yang terjadi di negara-negara luar tidak berlaku di sini.

Perpaduan di kalangan rakyat yang lemah akan membentuk negara yang juga lemah. Keadaan itu akan membuka ruang kepada mana-mana kuasa untuk campur tangan dalam menentukan hala tuju negara yang semestinya bertentangan dengan nilai masyarakat setempat.

Dan jika berlaku keadaan itu tiada siapa yang boleh menghulurkan bantuan untuk mengembalikan negara kepada bentuk asal.

Justeru adalah menjadi harapan kita semua agar sidang khas Dewan Rakyat hari ini yang pasti menyaksikan kesepakatan di kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang menyedarkan semua pihak tentang masa depan kita.

Bahawa tragedi di Palestin bukan sesuatu yang mustahil untuk berlaku di negara ini, oleh itu setiap daripada kita mesti bersatu hati dan mengetepikan perbezaaan politik untuk memastikan keharmonian di bumi yang bernama Malaysia terus terpelihara. Elak episod sedih di palestin berlaku di Malaysia

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.