Di sebalik sokongan pembangkang

Biar pun kedengaran agak janggal, namun semua orang tahu apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya pujian serta sokongan pemimpin pakatan pembangkang terhadap pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih-lebih lagi puji-pujian itu dilontarkan selepas pakatan pembangkang yang diwakili Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu.

Ketika itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa berselindung meluahkan hasratnya untuk melihat Abdullah terus kekal di jawatan itu.

Kononnya beliau mahu melihat banyak perubahan lagi selain pembaharuan yang dilaksanakan Perdana Menteri dalam bidang kehakiman dan pembanterasan rasuah.

Benarkah itu yang diinginkan oleh pakatan pembangkang?

Rakyat Malaysia tentu tidak lupa betapa ‘degilnya’ ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong pembentangan akta berkaitan rasuah dan kehakiman di Dewan Rakyat baru-baru ini. Pelbagai tuduhan buruk dilemparkan termasuk kononnya Perdana Menteri ingin meninggalkan legasi apabila akta tersebut diluluskan.

Ada kalangan mereka yang berpakat untuk memboikot sesi perbahasan rang undang-undang itu yang kononnya tidak dibuat secara terperinci selain tidak mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Ada juga yang menuduh Perdana Menteri ingin ada kuasa dalam hal-hal pendakwaan kes rasuah serta pelantikan hakim-hakim menjadikan kedua-dua suruhanjaya yang ditubuhkan untuk tujuan tersebut tidak bebas dan boleh dicurigai.

Tetapi sekarang segala-gala yang buruk mengenai bidang kehakiman dan rasuah menjadi indah di mata pembangkang lantas menghalalkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri yang selama ini diharamkan sedemikian rupa.

Rakyat juga tidak lupa tentang maki cerca serta pelbagai gelaran yang ‘dianugerahkan’ kepada Perdana Menteri.

Konsep Islam Hadhari tidak pernah lekang dari mulut mereka sebagai bahan lawak untuk siaran harian dan hampir tiada satu pun dasar yang dilaksanakan kerajaan sebulu di mata pembangkang.

Dan apabila puji-pujian melangit termasuk mahu Perdana Menteri meneruskan pemerintahannya supaya banyak lagi pembaharuan dapat diperkenalkan, sudah pasti ada matlamat di sebaliknya yang boleh dibaca oleh sesiapa pun.

Hakikatnya, pembangkang tidak pernah berubah, sentiasa mengambil kesempatan setiap ruang dan peluang untuk kepentingan diri mereka sendiri. Dalam soal menentukan pucuk pimpinan negara yang dikuasai oleh BN, suara pembangkang harus ditolak tepi kerana mereka selama-lamanya tidak berminat untuk melihat Malaysia terus-terusan diterajui BN.

Cita-cita mereka hanya satu. Kerajaan BN mesti ditumpaskan dan masa yang diperuntukkan untuk mencapai matlamat tersebut tinggal sedikit lagi.

Kelemahan BN dan sokongan yang membawa rebah adalah jalan untuk menjadikan cita-cita mereka satu kenyataan dan bukan lagi impian. Di sebalik sokongan pembangkang

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.