Calon BN mampu catat kemenangan 'kejutkan' Sabtu ini? (PRK Kuala Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yakin BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu buat kali ketiga berturut-turut sejak 2004 di sebalik keyakinan PAS bahawa ia sudah menguasai sokongan lebih 50 peratus.

Pun begitu, Wan Ahmad Farid mengakui persaingan masih di peringkat "sengit" bagi kedua-dua parti utama, BN dan PAS untuk mencatat kemenangan di sini kali ini.

Wan Ahmad Farid berkata, BN meletakkan sandaran pada arah aliran sokongan semasa dan aspek positif sejak pilihan raya 2004 dan 2008.

Pada 2004 dan 2008, kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail.

"Kita juga ada membuat bancian sikap, kita bandingkan pelbagai maklumat yang diberikan Wanita, Pemuda, yang diperoleh menerusi bancian sikap.

"Apa pun bancian, pungutan suara yang dijalankan dan tinjauan yang dibuat, yang akhirnya akan menentukan kemenangan adalah keputusan rakyat," kata Wan Ahmad Farid pada sidang media hari ketujuh kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di pejabat Umno Kuala Terengganu.

Malah kata beliau, pengundi Kuala Terengganu telah memberikan mandat kepada calon BN pada Mac 2008 untuk tempoh penuh selama lima tahun.

"Trend (kemenangan) sejak 1986 ialah berubah-ubah iaitu pada 1986, Kuala Terengganu dimenangi BN, 1990 oleh Semangat 46, pada 1995 oleh BN, 1999 pula PAS, dan pada 2004 oleh BN dan BN kekalkan pada 2008.

"Perkembangan tahun 2008 adalah satu aspek positif untuk mengekalkan mandat yang diberikan pada Mac 2008, bukan setakat November tetapi sehingag penggal semasa berakhir," kata Wan Ahmad Farid sambil menambah, beliau "bekerja keras" untuk mencatatkan kejayaan.

"Semangat untuk menang adalah tinggi," katanya.

Oleh itu, jelas beliau, BN tetap yakin bahawa mandat itu akan diteruskan pada Sabtu ini.

Mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali bahawa telah mengetepikan peranan dan kepimpinan Allahyarham Datuk Razali Ismail dalam Umno, Wan Ahmad Farid berkata, pemimpin PAS itu agar bercakap "atas fakta."

"Saya telah melantik Allahyarham Datuk Razali sebagai exco dalam mesyuarat pertama bahagian Kuala Terengganu... mungkin Datuk Mustafa tidak hadir mesyuarat itu.

"Saya menasihatkan beliau kalau hendak bercakap biarlah bercakap atas fakta," katanya.

- mstar Calon BN mampu catat kemenangan 'kejutkan' Sabtu ini? (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.