BN kena belajar cara pikat pengundi muda

Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelmarin seharusnya menjadi iktibar untuk parti itu membina semula pendekatan memenangi hati pengundi terutama golongan muda pada pilihan raya akan datang.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu sedia memikul tanggungjawab itu dengan kerjasama sayap parti komponen BN untuk terus berusaha memastikan pengundi muda memberi sokongan kepada BN.

Walaupun BN tewas, tetapi sebenarnya dalam suasana politik tanah air yang mencabar, sokongan untuk BN dan Umno masih ada apabila memperoleh lebih 30,000 undi.

"Jika nak dikatakan kekalahan itu sebagai gelombang besar untuk diatasi, ia tidak betul kerana kita masih mendapat sokongan kuat rakyat," katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga bekas Ketua Pemuda cawangan Balok Pine, Allahyarham Zahari Baharom, di sini, semalam.

Khairy berkata, semua pihak tidak perlu menuding jari kepada pihak tertentu berikutan kekalahan itu kerana ia tanggungjawab bersama dan bukan hanya satu faktor yang menyebabkan kekalahan calon BN.

"Jika saya kata faktor calon punca kekalahan BN, ia terlalu mudah dan senanglah kerja kita.

Sebaliknya, saya melihat ini sebagai masalah yang lebih rumit dan menyeluruh serta memerlukan kita bermuhasabah diri, mengkaji semula pendekatan kempen dan iklim politik tanah air serta isu setempat," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sudah tiba masanya BN melakukan perubahan drastik bagi memastikan parti berkenaan terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau berkata, perubahan berkenaan termasuk menolak pemimpin rasuah dan memberi perhatian kepada kehendak serta suara rakyat.

"Apa yang dapat dilihat hari ini, pemimpin yang ditolak rakyat dan terbabit rasuah masih dipilih sebagai calon dalam pemilihan Umno.

"Jika ini berterusan, BN akan tewas pada pilihan raya akan datang," katanya,

Di SEREMBAN, Pengerusi Perhubungan BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemimpin dan ahli BN tidak seharusnya patah semangat berikutan kekalahan itu, sebaliknya perlu dijadikan iktibar dan rangsangan untuk memenangi semula hati rakyat.

Beliau berkata, antara pendekatan yang perlu dilaksanakan ialah mengubah cara bekerja dan berkhidmat dengan memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan serta diberi tumpuan.

"Kita tidak mahu apabila hendak hadapi pilihan raya dan mengumumkan nama calon, baru kita nak tampal jalan, nak gali parit dan nak cari orang susah untuk dibantu.

"Kita perlu berubah dan terus bekerja dan berkhidmat tanpa mengira masa untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow, berkata kekalahan BN adalah tanggungjawab semua parti komponen dan tidak ada sesiapa yang wajar meletakkan kesalahan itu pada satu pihak saja.

"Jika dilihat pola pengundi, BN perlu merangka strategi baru untuk mendekati rakyat yang mempunyai pendirian tersendiri dalam membuat keputusan.

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam berpendapat BN mempunyai peluang lebih cerah jika ramai pengundi menunaikan tanggungjawab berbanding hanya 79.9 peratus kelmarin.

"Pilihan raya kecil ini penuh dengan cabaran dan peluang menang 50-50 sampai saat akhir, sebab itu kita perlu kehadiran lebih ramai pengundi," katanya.

- Berita Harian BN kena belajar cara pikat pengundi muda

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.