Anwar dakwa Pakatan bakal kuasai 93 kerusi jika menang Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

Selepas lima bulan berlalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan semula soal "bilangan wakil rakyat dalam tangannya" berhubung sasaran mahu membentuk kerajaan pusat ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu malam tadi.

Semasa berkempen di Pasir Panjang di sini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, pihaknya akan mempunyai 93 kerusi Parlimen jika memenangi Kuala Terengganu Sabtu ini.

Kini Pakatan Rakyat mempunyai 82 anggota di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, tambahan 10 kerusi itu melibatkan dua dari Sabah dan enam dari Sarawak tanpa menjelaskan sumber dua lagi.

"Kami akan memaklumkan bila tiba masa yang sesuai," kata beliau ketika ditemui wartawan selepas berkempen di kawasan Kuang Ikan, Batu Burok malam tadi.

Malam tadi, Anwar berucap di tiga kawasan.

Ketika berucap di Kuang Ikan, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, jika keadaan mengizinkan pihaknya boleh membentuk kerajaan bulan depan.

"Kita kata insya-Allah, kita tidak boleh menolak kemungkinan perubahan berlaku... mereka membuat banyak andaian kata saya berbohong, tapi dia tidak dapat menafikan kita dah menawan lima negeri.

"Dulu pun dia kata kita berbohong sebelum 8 Mac, dia kata berbohong bila kata akan menawan Permatang Pauh, jadi saya hendak tumpu kerja kita," katanya.

Mengenai peluang calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini, Anwar berkata, perkembangan terkini menggalakkan.

"Menurut Dr. Syed Azman Syed Ahmad (Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Batu Burok) kawasan Kubang Ikan ini antara kubu kuat Umno... kita berjaya menembusi. Sebab itu (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) akan datang merasmikan majlis batu asas masjid baru dan saya ucapkan tahniah kerana beliau menunjukkan minat ketara dalam mengimarahkan masjid.

"Tetapi saya pesan dalam kawan-kawan kita dalam Keadilan (PKR), PAS dan DAP bahawa ini satu ujian yang berat, wang yang dicurahkan banyak, ugutan kepada kakitangan dan pegawai kerajaan begitu kuat, sogokan pun nampak banyak.

"Oleh yang demikian kita kena pastikan kita menang," kata beliau sambil menambah, "saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kemenangan calon PAS."

BN meletakkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala PAS diwakili Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas ialah Azharudin Mamat @ Adam.

- mstar Anwar dakwa Pakatan bakal kuasai 93 kerusi jika menang Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.