Antara kebimbangan dan harapan tahun baru

Seperti juga orang lain di seluruh dunia, rakyat Malaysia melangkah gerbang 2009 hari ini dengan perasaan bimbang yang berbaur dengan harapan. Mereka bimbang jika krisis ekonomi global yang melanda dunia sekarang akan lebih meruncing dan meninggalkan kesan yang sukar dikawal terhadap ekonomi negara.

Jika ini berlaku, setiap orang sudah dapat membayangkan pendapatan yang merosot dan membawa bersamanya kehidupan lebih tertekan dan membebankan. Ada juga yang risaukan kehilangan pekerjaan atau punca rezeki yang selama ini menjadi tempat isteri, anak atau keluarga bergantung harapan untuk menyara makan minum, biaya pendidikan dan lain-lain keperluan harian.

Kebimbangan ini jelas terbayang daripada perbualan tidak rasmi dengan pelbagai golongan termasuk peniaga, pegawai kerajaan, pekerja swasta dan orang yang berkerja sendiri. Perkembangan di negara jiran, ada antaranya sudah terjerumus ke kancah kemelesetan serta pelbagai analisis pakar yang tidak berapa sedap didengar seperti impak sebenar krisis sekarang belum lagi dirasai sepenuhnya di Malaysia, tidak banyak menolong meredakan kerisauan.

Begitupun, jauh di sudut hati ramai orang pasti masih mengharapkan agar 2009, satu-satunya tahun yang diramalkan sebagai tahun paling sukar untuk ekonomi negara, akan berlalu seperti biasa tanpa banyak mendatangkan kesengsaraan kepada sebahagian besar rakyat.

Selaras dengan harapan itu, tahun berikutnya akan terus mampu mengeluarkan negara daripada krisis ekonomi yang dikatakan terburuk dalam tempoh 25 tahun. Sebahagian besar daripada harapan ini disandarkan kepada jaminan serta langkah yang sudah, sedang dan akan diambil kerajaan untuk menstabilkan keadaan dan menyelamatkan negara daripada kemelesetan.

Seperti semua sedia maklum, setakat ini kerajaan antara lain sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM7 bilion untuk dimulakan suku pertama tahun ini, menurunkan kadar faedah dan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan aset Valuecap Sdn Bhd (Valuecap), kepada RM10.3 bilion.

Semua inisiatif itu bertujuan terus merangsang kegiatan ekonomi dalam negara di samping menggerakkan aktiviti pasaran modal tempatan bagi menampung pengurangan eksport akibat penurunan harga minyak mentah dan kemerosotan permintaan minyak sawit serta getah Malaysia oleh negara pengguna yang juga sedang menghadapi zaman sukar.

Walaupun berdasarkan kepada angka dan petunjuk lain yang ada setakat ini, besar kemungkinan Malaysia akan berjaya melepaskan diri daripada ancaman kemelesetan. Atau dalam erti kata lain, terpaksa berdepan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang negatif selama sekurang-kurangnya dua suku tahun berturut-turut, adalah sesuatu yang kurang bijak untuk mengharapkan bahawa segala-galanya akan berjalan seperti biasa.

Unjuran pertumbuhan KDNK yang dikurangkan kepada 3.5 peratus bagi 2009 itu berbanding lima peratus pada tahun sebelum ini, dengan sendirinya membayangkan bahawa 2009 tidak serupa dengan 2008.

Penguncupan permintaan untuk komoditi Malaysia seperti minyak sawit dan getah sudah pasti akan menjejaskan pendapatan sektor peladangan termasuk pekebun kecil dan warga Felda. Bagi peniaga, terutama peniaga kecil-kecilan dan pekerja sendiri, pendapatan mereka juga dijangka akan berkurangan berikutan kurangnya permintaan pengguna yang kini mungkin lebih cermat dan berhemat berbelanja.

Bagi pekerja kilang khususnya kilang elektronik, mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan berikutan langkah pekilang mengurangkan pengeluaran disebabkan permintaan negara pengimport, terutama Amerika Syarikat.

Eksport barangan elektrik dan elektronik ke Amerika Syarikat saja dijangka berkurangan sebanyak 14.6 peratus tahun ini. Kesan pengurangan ini tentulah besar kerana sektor terbabit menyumbang sebanyak 62 peratus kepada keseluruhan eksport negara dan mewakili 43 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan.

Berdasarkan kepada faktor di atas, adalah jelas langkah yang sudah dan akan diambil kerajaan, termasuk dari segi fiskal dan kewangan hanya bertujuan mengurangkan bebanan rakyat, bukan untuk mengelakkannya sama sekali.

Sebagai contoh, kerajaan tidak akan mampu dan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pemilik kilang daripada memberhentikan pekerja masing-masing untuk mengelak terpaksa gulung tikar. Yang mampu kerajaan lakukan ialah menyediakan dana yang diperlukan untuk skim latihan semula kepada pekerja terbabit dengan harapan mereka akan mendapat pekerjaan di sektor lain yang mungkin masih memerlukan pekerja.

Keputusan untuk menyediakan dana sedemikian sudah dibuat dan diumumkan baru-baru ini. Selebihnya rakyat sendiri perlu lebih waspada, berhemat dalam berbelanja dan mengambil inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Pembaziran perlu diharamkan sama sekali.

Pihak lain yang bertanggungjawab dalam pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara perlu lebih fokus dan mengelak diri daripada menghabiskan terlalu banyak masa kepada perkara yang tidak relevan dan remeh. Jika boleh politicking hendaklah dielakkan sama sekali.

Parti politik juga perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan beban rakyat. Kalau boleh mereka tidak payah mencuri perhatian kerajaan daripada isu ekonomi kepada perkara yang tidak berkaitan dan tidak penting buat masa ini.

Dalam hubungan ini, ingatan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, baru-baru ini, perlu diberi perhatian khusus. Ketika bertitah merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat Perak di Ipoh Isnin lalu, baginda menggesa pemimpin politik menumpukan seluruh perhatian kepada usaha membebaskan negara daripada impak negatif krisis ekonomi global sekarang.

Baginda bertitah, 1430 Hijrah perlu dijadikan tahun bagi pemimpin untuk berazam mengurangkan polemik dan berpolitik, percanggahan serta bertelagah antara satu sama lain kerana kegiatan politik keterlaluan itu boleh mengekang produktiviti negara.

Walaupun baginda tidak menyebut atau menamakan ahli politik yang dimaksudkan, secara umumnya rakyat pasti faham maksud baginda. Seperti juga baginda, rakyat terlalu muak dengan beraneka macam kerenah politik yang ditunjukkan oleh pelbagai pemimpin dan anggota parti-parti politik pada akhir-akhir ini. Antara kebimbangan dan harapan tahun baru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.