Amerika & Israel perlu 'diajar'

Melihat kepada konflik di Palestin dan Israel, jutaan penduduk dunia begitu simpati dengan apa yang berlaku ke atas rakyat Islam di Palestin. Beratus-ratus terbunuh sementara ribuan tercedera akibat serangan tidak berperikemanusiaan Yahudi. Penduduk dunia tidak dapat berbuat apa-apa selain hanya mampu menghantar memorandum bantahan, mengutuk dan menggesa supaya menghentikan kekejaman Israel.

Namun, sehingga kini, sejak 60 tahun lalu, Zionis tidak mahu berbuat apa-apa untuk menghentikan penyeksaan ke atas penduduk Islam di Palestin. Seperti yang kita tahu, Amerika Syarikat (AS) yang bersikap berat sebelah dan proksi mengukuhkan lagi kekuatan Israel daripada segi teknologi persenjataan, politik dan ekonomi.

Inilah pengajaran yang benar-benar segar untuk ditatapi. Justeru, untuk jangka masa panjang, negara-negara ASEAN, negara-negara Islam perlu menjadi negara maju dari segi ekonomi, politik, teknologi dan sosial. Sekiranya negara-negara ini mempunyai keupayaan dan mampu mengeluarkan produk sendiri yang menyamai negara-negara Barat, kita tidak lagi akan bergantung kepada AS semata-mata.

Negara-negara Islam perlu bersatu. Jika tidak mampu bersatu dari segi fahaman politik, setidak-tidaknya demi menjaga Islam, negara-negara Islam perlu bertindak lebih berani agar musuh-musuh Islam tidak akan menggugat mereka. Negara-negara Islam hendaklah mampu mengenal pasti punca negara Barat lebih kuat.

Adakah kerana perpecahan fahaman negara Islam atau bantuan sumber-sumber seperti minyak dan sokongan politik kepada negara Barat. OIC, ASEAN dan negara Eropah yang lain perlu ada perancangan strategik yang realistik, berani dan konsisten.

Kita tidak perlu takut dengan AS. Negara ini sebenarnya lemah. Keberaniannya hanyalah terletak pada kemahirannya mengugut negara-negara lain melalui pencapaian-pencapaian teknologi dan ekonomi yang diada-adakan selain bijak menampilkan dirinya sebagai negara penguasa.

Realitinya, AS sebenarnya sentiasa berada dalam ketakutan. Namun ketakutan inilah membuatkan negara ini sentiasa mencari jalan untuk mempertahankan dirinya daripada sebarang ancaman berbahaya.

Malang bagi negara-negara Islam, keberanian orang Islam membuatkan mereka ego untuk mempertahankan kebenaran dan keberanian masing-masing akhirnya terarah kepada perpecahan. Keadaan umat Islam pada hari ini adalah disebabkan perkara ini.

Untuk mengubahnya mungkin akan mengambil masa yang lama sedang negara-negara Barat seperti AS khususnya, mengambil peluang menindas umat Islam. AS dan Israel akan sedar, keupayaan mereka melalui kekayaan yang dimiliki akan dilumpuhkan dengan senjata ekonomi. Orang yang muflis dan papa kedana tidak akan mampu berbuat apa-apa dan adakalanya membunuh diri jika benar-benar tertekan.

Merusuh

Jika AS muflis, sudah tentu rakyat kapitalis yang dilahirkan olehnya akan merusuh dan bertelagah sesama sendiri. Kita tidak perlu menyerang AS dengan senjata. Kerana senjata-senjata yang dicipta oleh AS akhirnya pasti akan membunuh sesama mereka sendiri sekiranya negara kuasa besar ini muflis.

Kita jangan menganggap orang Eropah itu terlalu pandai. Keburukan yang mereka pamer dengan melancarkan keganasan kepada umat manusia merupakan kelemahan paling besar yang boleh kita ambil peluang untuk menjatuhkan negara-negara Barat.

Tidak ada negara di dunia pun selain dari Israel yang menyokong keganasan. Oleh itu, pada masa kini AS yang sedang beralih kepimpinan sudah tentu berubah dari segi landskap politik dan demografi rakyatnya. Masalah ekonomi yang dialami, selain peralihan kepimpinan yang samar-samar penerimaannya merupakan kesempatan untuk negara-negara lain mengajar AS.

Tahun 2009 yang merupakan cabaran terbesar kepada ekonomi dunia di mana AS adalah 'garis mula' perlu dijadikan sebagai satu peluang menekan ketidakstabilan negara ini. Jika dapat, jangan sekali-kali memberi kesempatan negara Barbarian ini pulih kerana kekuatan itu pasti akan digunakan semula untuk menindas negara-negara lain.

Saranan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kita memboikot barangan AS dan melakukan percubaan untuk tidak menggunakan dolar AS adalah disokong. Kita yakin, langkah ini adalah satu langkah yang paling konkrit. Saranan Perdana Menteri untuk menggesa PBB mengadakan sidang tergempar adalah bertepatan kerana ia membolehkan cadangan memboikot barangan dan dolar AS dikemukakan.

Untuk itu, kerajaan serta pihak-pihak NGO seperti Persatuan Pengguna perlu menyenaraikan secara spesifik barangan AS dan Israel yang dijual di pasaran supaya pengguna boleh bertindak memulaukan barangan tersebut. Senarai barangan juga perlu dipaparkan dalam media-media tempatan seperti televesyen dan surat khabar.

Kerajaan juga digesa mengadakan perbincangan dengan Bank Negara atau bank-bank tempatan serta industri-industri yang menggunakan dolar AS bagi mencari strategi bagaimana cara untuk tidak menggunakan mata wang itu pada masa akan datang terutama dalam industri perdagangan berskala kecil.

Ini boleh dilakukan secara perlahan-lahan dan mesti bersifat jangka panjang supaya ekonomi negara tidak akan terjejas. Usaha memboikot barangan Israel dan AS perlu dilakukan di segenap peringkat. Pemborong, pengimport, peniaga runcit, pasar raya dan rakyat selaku pengguna perlu dilibatkan dalam usaha ini.

Persidangan, seminar, dialog bersama pengusaha-pengusaha atau pengimport hendaklah disaran untuk tidak meneruskan penjualan dan pengimportan barangan-barangan yang mana keperluan barangan tersebut boleh diganti dengan barangan lain sama ada produk tempatan atau dari negara lain.

Kerajaan perlu mewartakan akta atau notis mengharamkan import terhadap barangan AS. Selain itu, Malaysia perlu mengetuai kempen memulaukan dolar AS sekurang-kurangnya di negara-negara ASEAN. Kita yakin, ada sektor-sektor perdagangan yang mungkin tidak memerlukan atau terlalu bergantung kepada dolar yang mana tidak akan merugikan kita sekiranya kita memboikotnya.

Industri pelancongan ke AS juga perlu dibatalkan. Ini bukan sahaja dilakukan oleh Malaysia tetapi mengajak negara-negara lain agar memulaukan apa juga kepentingan-kepentingan AS yang selama ini memberi keuntungan serta keangkuhan mereka.

Malaysia yang tidak mahu menjadikan keganasan sebagai jalan mendapatkan kuasa dan pengaruh, perlu mencadangkan kepada PBB supaya menggubal akta persenjataan baru atau terus mengharamkan penggunaan senjata secara lebih meluas di dunia.

Negara-negara ASEAN perlu mencadangkan supaya PBB dirombak atau dijenamakan semula dengan digantikan dengan satu pertubuhan dunia yang baru. Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu mengajak negara-negara dunia yang lain termasuk negara Eropah yang tidak bersetuju dengan AS supaya membentuk pasukan pengaman walaupun ia bukan atas tajaan PBB.

Malaysia mungkin perlu memberanikan diri untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Hamas, Fatah dan negara-negara Islam lain yang mempunyai sumber kekuatan atau kekayaan masing-masing untuk menyusun strategi tentang bagaimana mengajar AS dan Israel.

Kita berharap, kemarahan dan kebencian kita terhadap Israel dan AS akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang benar-benar berkesan. Walaupun bukan pada masa terdekat ini namun tindakan kita menyahut seruan memboikot apa sahaja yang datang dari AS merupakan tindakan jangka panjang supaya kita dapat memelihara keamanan dunia untuk masa depan terutama di Palestin.

Kita tidak lagi mahu bertindak dengan hanya membakar bendera, memorandum bantahan dan sebagainya. Surat-surat bantahan atau memorandum hanya akan menjadi kertas-kertas sampah kerana PBB, AS dan Israel mungkin tidak mahu menyimpan surat bantahan dan memorandum yang terlalu banyak dihantar. Amerika & Israel perlu 'diajar'

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.