AJL-23 antara yang terbaik


Sesuatu yang menarik perhatian pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL-23) yang berlangsung malam Ahad lalu adalah persaingan antara lagu-lagu yang bertanding.

Biarpun pada awalnya timbul kontroversi berikutan ramai artis baru khususnya artis program realiti terpilih ke peringkat akhir, pentas AJL membuktikan barisan yang dipilih memang sebenar-benarnya layak.

Komposisi lagu, gaya persembahan dan semangat artis yang bertanding sesungguhnya tidak sahaja memberikan tenaga baru kepada anugerah yang sudah masuk tahun ke-23 diadakan sejak tertubuhnya TV3, 25 tahun lalu.

Malah lebih penting, ia terus menjadi medan untuk membuktikan keupayaan diri para pengkarya dan penyanyi memberikan sentuhan terbaik mereka dan pemangkin kepada industri muzik tempatan yang semakin hari semakin lesu.

14 lagu bertanding dan kemunculan masing-masing tidak mengecewakan. Di bawah pimpinan pengarah muzik terkemuka, Ramli MS, nyata setiap mereka membuat persediaan rapi.

Sofaz yang membuat persembahan pertama merupakan penanda awal kepada kesempurnaan perjalanan AJL-23 apabila menyajikan gaya permainan muzik dan vokal yang membanggakan.

Dan selepas itu setiap kemunculan artis yang bertanding amat memberansangkan dan mencapai kemuncak untuk menjadikan edisi kali ini antara malam anugerah yang terbaik.

Sesungguhnya ramai yang memuji AJL edisi ini dan memperlihatkan kesungguhan stesen televisyen itu menjadi platform mengetengahkan karya dan memberi pengiktirafan terbaik.

Tidak sahaja daripada segi persembahan artis, set pentas AJL kali ini juga menarik dengan sokongan kreativiti daripada segi teknikal seperti pencahayaan, sudut kamera hinggalah kepada koreografi.

Malah tabir persembahan yang dimulakan dengan tarian stomping dan kemunculan One Nation Emcee sebagai pembuka tirai persembahan dan kolaborasi M. Nasir, Jamal Abdillah dan Jaclyn Victor melengkapkan malam yang bertemakan Iluminasi Muzik itu.

Peningkatan penonton

Biar terdapat beberapa cabaran dalam menerbitkan AJL kali ini namun Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin amat berbangga dan berterima kasih kepada kumpulan penerbitan yang diketuai Roslina Abd. Rahman atau Ayong kerana menyajikan persembahan keseluruhan yang mantap dan gah.

Amrin mengakui masalah bajet dan peruntukan antara cabaran besar selain perbandingan AJL lalu yang menjadi kayu pengukur kebanyakan khalayak.

Namun dengan kerja keras dan usaha serta latihan yang dijalankan antara pihak penerbitan dan komitmen artis yang tinggi nyata memberikan sesuatu yang diluar jangkaan.

"Penghormatan dan apresiasi harus diberikan kepada setiap tenaga kerja di belakang tabir serta para artis yang bertanding yang bertungkus lumus memastikan kejayaan AJL kali ini," tegas Amrin yang dihubungi baru-baru ini.

Menurut Amrin, pihaknya juga amat terharu dengan maklum balas yang diterima daripada peminat dan khalayak yang menyatakan AJL-23 ini merupakan antara program persembahan muzik televisyen tempatan terbaik setakat ini.

Persembahan malam kemuncak kali ini juga memperlihatkan peningkatan jumlah khalayak penonton dengan pertambahan peratusan penonton di rumah iaitu 65 peratus berbanding 62 peratus pada tahun lalu dan lebih 15 ribu hadir menyatakan sokongan di Stadium Bukit Jalil, kata Amrin.

Dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan memilih karya terbaik di antara lagu-lagu popular sepanjang tahun dan terus menjadi pemangkin industri, Amrin juga memberitahu akan melakukan beberapa perubahan baru kepada program Muzik-Muzik tahun ini terutama daripada segi penampilan, intipati dan format.

"Ini perlu kami lakukan bagi memastikan AJL dan program Muzik-Muzik terus relevan kepada penonton dan efektif untuk membantu industri muzik tempatan mengikut trend dan peredaran semasa. Insya-Allah kita akan dapat saksikan hasilnya pada AJL-24 nanti," tambah Amrin penuh optimis.

Pencuri tumpuan

Sememangnya menyaksikan AJL kali ini memberikan impak kepuasan kepada kebanyakan penonton. Malah lebih 15 ribu yang hadir di Stadium Bukit Jalil, lokasi berlangsungnya malam kemuncak itu gamat dengan sokongan kepada para artis yang bertanding.

Tidak sahaja juara-juaranya - Meet Uncle Hussien yang memukau dengan persembahan vokal dan iringan muzik Lagu Untuk Mu dan persembahan Faizal Tahir dengan Sampai Syurga yang menarik mendapat jeritan sokongan dan tepukan sanjungan.

Malah Ziana Zain yang telah enam tahun tidak muncul di pentas pertandingan memperoleh sorakan paling hangat daripada para peminat fanatiknya yang seolah-olah histeria sebaik kemunculannya di pentas.

Namun apa yang pasti, setiap artis yang muncul dipentas pertandingan pada malam itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton - Aizat dengan gitarnya; Elyana dengan gaya 'anak patung' yang comel; Stacy dengan gerak tari yang lincah.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.