45,000 pekerja kilang diberhenti

Kira-kira 45,000 pekerja dari pelbagai sektor pengilangan mungkin kehilangan pekerjaan apabila kebanyakan kilang akan memberhentikan sementara pekerja menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada hujung bulan ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S.Subramaniam berkata, perkara itu berlaku kerana pengurusan kilang akan menutup operasi selama dua atau tiga minggu dan pekerja diminta mengambil cuti sama ada diberi cuti bergaji atau tanpa gaji.

“Ini kerana permintaan terhadap pengeluaran kilang yang berkurangan pada masa itu menyebabkan langkah ini (pemberhentian sementara) dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agro Explosion 2009 Seminar & Workshop anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga 12 Januari lalu, seramai 14,000 pekerja dari pelbagai sektor telah diberhentikan kesan daripada kegawatan ekonomi global.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 15,000 jawatan kosong dalam pelbagai sektor di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia.

‘‘Kita juga telah menyediakan sebanyak 80 buah pusat pemantauan pemberhentian pekerja di pejabat-pejabat Jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara bagi memudahkan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan mendapatkan maklumat termasuk mendaftar bagi mengisi kekosongan jawatan yang ada,’’ katanya.

- Utusan 45,000 pekerja kilang diberhenti

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.