Pengurusan wang cara Islam jamin kebahagiaan keluarga

Masih ada segelintir individu yang menganggap persoalan pengurusan dan perancangan kewangan sebagai perkara remeh sedangkan perkara itu amat mustahak untuk mengelakkan seseorang daripada dibebani hutang keterlaluan dan perasaan gusar serta tertekan ketika dihimpit kecemasan.

Kegagalan mengurus dan merancang kewangan dengan baik juga menyebabkan ada yang mudah terperangkap dengan gaya hidup berhutang sama ada dengan pelbagai tawaran kad kredit atau pinjaman daripada institusi kewangan.

Pengerusi Eksekutif Hijrah, Strategic Advisory Group Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir, berkata pengurusan kewangan yang bijak termasuklah mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan bijak serta mengikut syariah dan memastikan pendapatan diperoleh mendapat keberkatan.

Katanya, semua itu penting bukan untuk kebaikan diri semata-mata, tetapi demi memastikan dapat melahirkan keluarga yang sejahtera di samping umat beriman dan bertakwa.

“Dalam Islam jelas menyatakan mengurus dan membelanjakan harta benda dengan jalan yang betul adalah antara amanah daripada Allah. Barang siapa yang tidak berbuat demikian akan disoal pada hari pembalasan kelak.

“Berdasarkan syariah, menguruskan kewangan adalah satu keperluan dan ia bertujuan untuk mencapai kehidupan yang lebih bermakna. Unsur halal dan mendapat keberkatan Allah sudah tentu menjadi faktor utama dalam Islam apabila menjana pendapatan, perbelanjaan dan pelaburan,” katanya ketika memberi ceramah bertajuk, ‘Pengurusan Harta Secara Islam’ anjuran Bank Islam (Malaysia) Berhad (BIMB), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rohani berkata, umat Islam digalakkan mencari kekayaan dan bukan hanya berserah segala-galanya kepada qada dan qadar. Ini bermakna, individu perlu berusaha mencari harta kekayaan dan pada masa sama memastikan sumber rezeki diperoleh adalah halal dan direstui Illahi.

Beliau berkata, sumber keluarga perlu diurus untuk mencapai matlamat dan aspirasi keluarga. Cara mana sumber diurus akan mempengaruhi kualiti hidup keluarga. Malah, keluarga yang ada keselamatan ekonomi didapati mempunyai perantara yang dapat digunakan bagi mencapai kesejahteraan hidup.

“Merancang kewangan keluarga perlu dibuat dari awal dan bukan apabila sudah ada masalah timbul, baru hendak berbuat demikian. Sebaik-baiknya, wang yang ada perlu dilaburkan mengikut syariat dibenarkan Islam dan diuruskan dengan baik supaya kita berterusan mempunyai kuasa beli dan wang atau kekayaan dimiliki akan terus bertambah,” katanya.

Antara pengurusan yang baik, Rohani berkata ialah memastikan diri berdisiplin untuk membuat simpanan asas secara tetap. Bagi yang ingin membuat pelaburan pula perlulah ada kefahaman mengenai risiko dan profil pulangan bakal dikecapi.

Faktor lain yang mesti dipertimbangkan ialah menyesuaikan pelaburan dengan kewangan diperlukan, di samping mengenal pasti sasaran keuntungan dan strategi mengurangkan kerugian.

“Bagi wanita yang sudah berkahwin misalnya, mestilah sentiasa beringat dan mempunyai pengurusan kewangan sebelum berlaku perkara tidak diingini dalam rumah tangga. Walaupun tidak meminta perkara buruk berlaku dalam rumah tangga, kita hendaklah sentiasa bersedia daripada sekarang.

“Kita juga mesti ingat lazimnya, sesuatu yang baik akan dikecapi dan dimiliki ketika berada dalam saat manis, tetapi apabila berlaku keretakan semuanya berasa masam belaka,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa panduan dan kaedah sesuai untuk merancang kewangan. Antara yang boleh diamalkan ialah melalui kaedah ‘Sistem Sampul Surat’. Kaedah yang memerlukan individu memasukkan wang di dalam sampul surat itu bukan saja mudah, tetapi dikatakan masih diamalkan di Amerika Syarikat sebagai salah satu cara untuk menguruskan kewangan dan berbelanja cara berhemah.

Rohani berkata, melalui kaedah itu duit daripada pendapatan bersih diterima setiap bulan akan diagihkan dan dimasukkan ke dalam sampul surat untuk setiap keperluan yang sudah ditetapkan contohnya, untuk diri sendiri, ansuran rumah, ansuran kereta, bayaran bil elektrik dan air, keperluan barangan dapur dan sebagainya.

Satu lagi kaedah perancangan kewangan berkesan yang boleh digunakan ialah ‘kuasa penggandaan’ iaitu memastikan setiap pulangan yang diperoleh melalui pelaburan tidak dikeluarkan atau dibelanjakan sehingga tempoh pelaburan tamat sebaliknya, ia dijadikan simpanan tetap supaya terus berlipat ganda.

“Dalam kita mengejar kekayaan dan harta benda di dunia, jangan lupa tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Allah menyeru bahawa setiap harta diperoleh ada bahagian yang perlu dikongsikan iaitu perlu dibayar zakat dan diagihkan kepada memerlukan. Mengeluarkan zakat bukan saja menyucikan harta yang dimiliki, tetapi mengikis perasaan tamak dan mementingkan diri sendiri,” katanya.

FAKTA:
Elemen utama pengurusan harta secara Islam

-Berusaha mencari harta kekayaan.

-Mengumpul harta kekayaan.

-Melindungi harta kekayaan dengan cara menyimpan dan melabur.

-Mengagihkan harta kekayaan ke jalan yang diredai Allah..

-Membersihkan harta kekayaan melalui pembayaran zakat.


Strategi perancangan kewangan Islam:

-Perbelanjaan pendapatan

-Pengurusan hutang

-Pensucian harta

-Perlindungan

-Pelaburan

-Persaraan

-Pengagihan harta Pengurusan wang cara Islam jamin kebahagiaan keluarga

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.