Siapa Layak Tentukan Jodoh?

Kata orang, firasat dan pilihan ibu bapa selalunya betul. Maklum saja, selain banyak pengalaman, matang dan lebih dulu makan garam dalam kehidupan, jadi tentulah ibu bapa bijak serta tahu menilai buruk atau baik sesuatu perkara.

Namun, bagaimana pula dalam soal memilih jodoh, adakah pilihan ibu bapa tepat? Satu lagi persoalan, masihkah lagi relevan pada masa kini orang tua yang mencari serta menentukan jodoh anak?

Jika zaman nenek moyang dulu, semua tahu ibu bapa berperanan besar dalam mencari calon isteri atau suami untuk anaknya. Malah, kebanyakan anak zaman itu memang tidak banyak kerenah dan lebih senang membiarkan urusan mencari suami atau isteri ditentukan oleh kedua orang tua.

Baik pada ibu bapa, maka baiklah juga bagi anak. Soal ada perasaan cinta atau tidak, jarang sekali ditimbulkan. Pokoknya, kahwin dulu kemudian barulah bercinta dengan pasangan hidup.

Bagaimanapun, terdengar juga cerita pada zaman dulu ada segelintir anak yang cuba 'memberontak' kerana tidak bersetuju atau tidak suka dengan pilihan orang tua. Lazimnya, pandangan anak sukar diterima dan mulalah berlaku kahwin paksa. Oleh kerana tidak mahu derhaka dengan orang tua, akhirnya anak terpaksa beralah dan menerima calon suami atau isteri pilihan ibu bapa dengan hati yang terbuka.

Zaman sekarang, mungkin tidak sama kerana kebanyakan anak moden hari ini lebih senang bercinta dan mengenali pasangan hidupnya dulu. Sekali pun ibu bapa memaksa, anak moden zaman ini ada 1,001 alasan diberikan untuk menolaknya. Sama ada orang tua berkecil hati, itu bukan persoalan utama kerana kebanyakan anak menganggap yang hendak berkahwin adalah dirinya dan biarlah empunya diri memutus dan menentukan kehidupannya.

Bagaimanapun, Mohd Khairuliza Mohd, 29, berpendapat walaupun zaman sudah berubah dan generasi hari ini jauh lebih maju daripada dulu, amalan ibu bapa mencari jodoh untuk anak masih lagi boleh diteruskan.

Katanya, setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak. Dengan kematangan dan pengalaman yang ada, tentu mereka akan berhati-hati serta memperhalusi setiap tindak-tanduk sebelum kata putus dibuat dalam memilih jodoh anak.

"Hari ini, kebanyakan ibu bapa memang memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anak untuk mencari pasangan hidup. Tetapi ini tidak bermakna, ibu bapa tidak boleh lagi mencarikan jodoh untuk anak. Jika ada calon sesuai, memang relevan sekali mereka berusaha menjodohkan anak dengan calon menantu yang berkenan di hati," katanya.

Beliau yang baru lapan berkahwin dengan wanita pilihan sendiri berkata, memang tidak kisah jika dicarikan jodoh, tetapi disebabkan duduk berjauhan dengan ibu bapa terpaksalah pandai-pandai mencari teman hidup.

"Kesesuaian itu penting dalam mencari teman hidup. Jadi, jika ibu bapa yang carikan kalau boleh biarlah pasangan itu berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing terlebih dulu sebelum bersetuju berkahwin dengan calon menantu pilihan mereka," katanya.

Mohd Zaheed Mat Ros , 26, yang turut berkahwin dengan pilihan sendiri sependapat dengan Mohd Khairuliza. Katanya, pilihan orang tua lazimnya tidak silap kerana sebelum berkenaan di hati, sudah tentu latar belakang dan sifat peribadi bakal calon menantu sudah diselidik habis-habisan.

Namun, beliau yang kini menanti kelahiran anak kedua berkata, bagi anak yang tidak bersetuju dengan cadangan atau pilihan ibu bapa perlulah menolaknya dengan baik. Malah, jika sudah ada pilihan sendiri lebih baik berterus terang daripada memberi pelbagai alasan yang berdolak dalik.

"Ibu bapa hari ini sudah berfikiran terbuka dan tentu tidak banyak masalah untuk menjelaskan perkara sebenar. Dalam mencari jodoh kita perlulah berpegang ketetapan Qada dan Qadar," katanya.

Ahmad Tarmizi Othman, 38, yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga pula berkata, pada masa kini lebih wajar empunya diri mencari pasangan hidupnya.

Beliau berkata, pilihan ibu bapa bukan tiada kebaikan, tetapi seandainya individu itu mencari sendiri sudah pasti ciri calon isteri yang dicari lebih menepati cita rasa.

"Jika dulu orang tua hendak saya berkahwin dengan calon menantu pilihan mereka, ia mungkin keputusan terakhir yang dibuat dan terpaksalah reda dengan apa ditentukan. Bagaimanapun, saya tetap berpendapat menentukan pilihan dan membuat keputusan sendiri lebih mudah dalam mencari pasangan hidup kerana semasa berkenalan kita dapat menilai sejauh mana keserasian serta kesesuaiannya untuk dijadikan teman hidup selama-lamanya," katanya. Siapa Layak Tentukan Jodoh?

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.