FEI WEC 2008 Terengganu cipta pencapaian terbaik


Penganjuran Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI 2008 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di sini yang berakhir, semalam mencipta pencapaian terbaik sepanjang kejohanan tersebut dianjurkan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ini kerana jumlah penunggang berjaya menamatkan perlumbaan dalam WEC FEI 2008 merupakan paling tinggi berbanding kejohanan yang sama di negara- negara lain sebelum ini.

''WEC FEI 2008 menyaksikan seramai 48 daripada 126 penunggang iaitu sebanyak 38.09 peratus yang bertanding berjaya menamatkan perlumbaan.

''Menurut Sekretariat Persekutuan Endurance Antarabangsa (FEI), jumlah tersebut merupakan yang terbaik berbanding rekod 33 peratus penunggang yang berjaya menamatkan perlumbaan dalam kejohanan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan hadiah kepada juara WEC FEI 2008 bagi kategori individu dan berpasukan di TIEP, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berkenaan menghadiri majlis tersebut.

Sementara itu, peserta Sepanyol, Maria Mercedes Alvarez Ponton muncul juara bagi kategori individu manakala pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang diwakili Putera Mahkotanya, Sheikh Hamdan Mohd. Al Maktoum, Mohd. Ahmad Ali Subose dan Mubarak Khalifa Shafya pula pemenang pertama kategori berpasukan.

Ponton menerima AS$100,000 (RM354,589), pingat emas dan trofi manakala pasukan UAE membawa pulang AS$80,000 (RM283,671), pingat serta trofi.

Kuda peserta Sepanyol itu pula, Nobby dinobatkan Kuda Terbaik dan pemiliknya membawa pulang AS$20,000 (RM70,917).

Dalam pada itu, Ahmad berkata, FEI mengisytiharkan trek di TIEP antara lokasi terbaik bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia tersebut.

''FEI gembira dengan semua kemudahan yang ada terutama trek yang rata selain terletak di tepi pantai dan kawasan berbukit," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga bersedia untuk bertindak sebagai penganjur utama jika kejohanan berkenaan masih akan diadakan di sini pada masa depan.

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.