Akta baru cegah rasuah

Kabinet semalam meluluskan penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 bagi menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang bakal menjadi asas pembentukan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang lebih berwibawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata mesyuarat Jemaah Menteri semalam, turut bersetuju supaya Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dibentuk sebagai mekanisme 'check and balance' bagi suruhanjaya itu.

Rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen dalam masa terdekat dan jadual persidangan Dewan Rakyat yang dilanjutkan hingga 18 Disember membolehkan ia dibahaskan untuk kelulusan.

"Apabila diluluskan, ia akan menjadi asas kepada pembentukan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang lebih berwibawa, berkesan dan tertakluk kepada pemantauan luar melalui sistem 'check and balance' menyeluruh," katanya dalam ucaptama di sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Tarikh 5 November setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Integriti Kebangsaan sejak 2004, untuk membincang hala tuju agendanya. Turut diadakan ialah konvensyen integriti nasional dengan tema kali ini 'Integriti Pemangkin Pembangunan Mapan'.

Abdullah berkata, kerajaan juga sudah mengambil langkah untuk memastikan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bakal diwujudkan itu berkesan dan mampu memenuhi kehendak serta aspirasi rakyat.

"Ia dibuat dengan mengambil input daripada model agensi antirasuah antarabangsa yang diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia seperti Suruhanjaya Bebas Antirasuah (ICAC) di Hong Kong dan New South Wales, Australia," katanya.

SPRM akan disokong beberapa mekanisme 'check and balance' seperti LPPR dan JKMR supaya dilihat lebih berwibawa, telus dan berkesan dalam pelaksanaan tugasnya, selaras dengan kehendak perundangan serta sejajar dengan aspirasi rakyat.

"LPPR akan dianggotai individu yang dilantik Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri daripada kalangan mereka yang sudah menunjukkan khidmat bakti terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

"Ia akan bertanggungjawab menasihatkan SPRM terhadap perkara berkaitan masalah rasuah di negara ini, manakala JKMR dianggotai ahli-ahli Parlimen untuk menerima serta meneliti laporan tahunan yang wajib dikemukakan suruhanjaya," katanya.

Abdullah juga berkata, bagi memantapkan struktur SPRM berkenaan, jemaah menteri juga bersetuju dengan cadangan pembentukan dua panel iaitu Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Panel Penilaian Operasi akan memastikan tindakan dan keputusan siasatan SPRM dilakukan dengan telus dan penuh tanggungjawab, manakala Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, membantu mendidik orang ramai membanteras gejala itu.

Perdana Menteri berkata, pengukuhan struktur SPRM tidak akan memberi impak diharapkan jika tidak dibekalkan dengan keanggotaan mencukupi.

Justeru Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan tambahan keanggotaan pegawai BPR seramai 1,379 orang antara 2008 dan 2009, iaitu peningkatan lebih 100 peratus dan angka itu akan terus ditambah sehingga 5,000 orang.

"JPA juga dalam proses akhir menyediakan satu skim perkhidmatan baru yang lebih baik untuk pegawai SPRM bagi menarik minat golongan profesional dan berkemahiran untuk berkhidmat dengan suruhanjaya terbabit," katanya.

Beliau berkata, jemaah menteri juga sedia menimbang supaya SPRM dibenarkan mengendalikan pelbagai urusan perkhidmatan, khususnya membabitkan proses lantikan serta penamatan pegawai yang berkhidmat dengannya.

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan supaya memohon pertimbangan serta kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi menurunkan kuasa kepada SPRM untuk menguruskan sendiri pelantikan pegawai suruhanjaya.

"Komitmen kerajaan menubuhkan SPRM dan menjayakan agenda integriti negara kekal utuh. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh, Barisan Nasional (BN) faham kepentingan institusi negara kepada pembangunan masyarakat serta ekonomi negara.

"Dengan itu saya berharap supaya Rang Undang-Undang SPRM 2008 akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak, khususnya apabila ia dibentangkan di Parlimen, seperti yang dikehendaki rakyat," katanya. Akta baru cegah rasuah

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.