57 bahagian UMNO saksikan perubahan kepimpinan

Sebanyak 57 daripada 186 UMNO bahagian yang telah bersidang dalam tempoh sebulan bermula 9 Oktober lalu, menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan.

Di sebalik perubahan itu, terdapat pelbagai kejutan dan kisah suka duka yang mewarnai kesuburan amalan demokrasi dalam UMNO.

Di Sabah, dua bekas Ketua Menteri menerima nasib yang berbeza dalam usaha mereka untuk merebut jawatan ketua bahagian.

Datuk Salleh Said Keruak berjaya menewaskan penyandang Ketua Bahagian Kota Belud, Datuk Musbah Jamli manakala Datuk Osu Sukam pula tewas kepada Pemangku Ketua Bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail.

Nasib berbeza dua Timbalan Menteri turut mencuri perhatian apabila Datuk Lajim Ukin yang merupakan Timbalan Menteri Pengangkutan berjaya mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Beaufort.

Beliau sebelum ini melafazkan janji untuk melepaskan jawatan di peringkat Persekutuan sekiranya ditewaskan pencabarnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri yang tewas dalam usaha merebut jawatan Ketua Bahagian Kudat.

Di Perlis, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu diberikan laluan oleh penyandang Ketua Bahagian Kangar, Ahmad Bakri Ali dan bagi menghargai pengorbanan itu, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO bahagian.

Sementara itu, bekas Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Azmi Khalid gagal merebut jawatan Ketua Bahagian Padang Besar apabila tewas kepada penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan majoriti 19 undi.

Di Selangor, tiga ketua pemuda bahagian 'naik pangkat' apabila berjaya merebut jawatan ketua bahagian.

Mereka ialah Ketua Pemuda Selayang, Abdul Shukur Idrus; Ketua Pemuda Hulu Langat, Johan Abdul Aziz dan Ketua Pemuda Pandan, Abdul Ghani Ismail.

Di Terengganu, Ketua Bahagian Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang mendapat gelaran Giant Killer kerana pernah menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam dua pilihan raya umum, akhirnya kecundang di tangan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Ali dengan majoriti besar 198 undi.

Di Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Samad berjaya merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dalam percubaan kali keempat menewaskan penyandang, Datuk Amir Salleh.

Beliau yang tewas kepada Amir dalam tiga pemilihan sebelum ini, menang dengan kelebihan 27 undi.

Di Pulau Pinang, Ketua Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd. Sharif Omar terpaksa melepaskan jawatan yang dipegang beliau selama 23 tahun kepada Shabudin Yahaya apabila tewas dengan perbezaan 88 undi.

- Utusan 57 bahagian UMNO saksikan perubahan kepimpinan

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.