Pilih makanan anda

Makanan dan minuman adalah antara keperluan asas manusia yang diperlukan untuk membesar dan meneruskan hidup. Sekian lama sejarah kewujudan manusia di muka bumi melihatkan masalah pemakanan banyak wujud dari segi kekurangan bekalan dan masalah nutrisi akibat kesukaran mendapat komponen makanan (protein, lemak, karbohidrat) secukupnya.

Namun, pola masalah makanan kini sudah berubah di mana makanan sudah lebih daripada cukup tetapi sebaliknya terdapat anasir-anasir tertentu yang ingin mengaut keuntungan mudah dengan mengubah kandungan bahan makanan.

Pilihan dan kesan

Kini, boleh dikatakan sesetengah bahan mentah (makanan basah) juga tidak lagi ‘segar’ kerana telah ditambahkan pelbagai bahan kimia. Bukan sahaja kimia dalam baja, racun perosak, suntikan antibiotik, makanan ternakan dengan campuran kimia tertentu dan sehinggakan bahan kimia pengawet turut digunakan untuk mengekalkan kesegaran sayur, buah dan daging sebelum dijual.

Tidak cukup bahan kimia ditambah dalam keadaan ‘segar’, bahan mentah ini kemudian diproses ke dalam bungkusan tertentu supaya dapat disimpan lebih lama. Konsep pembungkusan makanan, yang bermula daripada perkembangan teknologi dan pemahaman kimia, pada mulanya bertujuan menyimpan bekalan makanan untuk waktu kecemasan seperti ketika perang, wabak penyakit atau dalam perjalanan jauh, tetapi kini sudah terlalu dikomersialkan.

Bermula dari penggunaan pengawet untuk memanjangkan hayat atas rak produk makanan, pembungkusan makanan kini ‘dimajukan’ dengan menambah pewarna dan perasa tiruan (bahan kimia) untuk meningkatkan jualan produk. Mengambil kira sifat asas manusia memilih sesuatu yang lebih ‘sedap’ dan mudah, kebanyakan daripada kita kini jelas memilih untuk bergantung hidup kepada makanan siap diproses atau makanan yang dimasak di luar.

Lebih memudahkan hidup apabila para ibu juga tidak perlu lagi menyusukan anak dengan menggunakan susu tepung yang diberi melalui botol. Akhirnya, anak kecil juga yang menjadi mangsa apabila pihak tertentu mencampur bahan sampingan untuk menipu kandungan susu, menyebabkan ibu bapa seluruh dunia tersentak seketika.

Produk susu yang menjadi antara pembekal utama kalsium untuk tulang kini hilang kepercayaan pengguna, menyebabkan pengeluar kerugian wang sementara pengguna bakal kerugian kesihatan tulang kelak. Bagaimanapun, bukan hanya susu yang tercemar dengan bahan kimia. Banyak lagi produk makanan yang dicemari bahan kimia ‘dalam tahap yang diizinkan’, tanpa sebarang manfaat kepada badan manusia.

Tiada manfaat

Pakar Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Kolonel (B) Dr. Abdul Rahman Mohd. Ali menjelaskan bahan kimia tertentu sememangnya dibenarkan dalam pemprosesan makanan tetapi masalah sebenar adalah bila makanan tersebut dimakan.

“Bahan kimia yang ditambah dapat dikawal namun kekerapan dan jumlah makanan diproses yang diambil seseorang (dalam setiap hidangan setiap hari) sukar dikawal.

“Ini menyebabkan badan mengumpul bahan kimia yang digunakan (melebihi paras yang dibenarkan) dan seterusnya membebankan organ hati yang perlu membersihkan bahan kimia tersebut dari badan,” katanya.

Menurut beliau, sesetengah bahan kimia (seperti dalam pewarna makanan) yang bersifat karsinogen (penyebab kanser) boleh membawa kepada bermacam jenis kanser.

Tambahnya, bahan kimia yang menjadi toksik kepada badan juga wujud dalam beribu bentuk dalam makanan (secara semula jadi) atau dalam makanan diproses.

Bahan kimia yang digunakan mungkin tidak berbahaya dalam kuantiti kecil tetapi apabila diambil berulang kali dalam jangka pendek atau dalam jumlah besar pasti memudaratkan kesihatan badan.

Dr. Abdul Rahman mendakwa antibiotik yang banyak digunakan pada haiwan ternakan kini juga boleh memberi kesan kepada badan.

“Jika seseorang makan banyak daging ternakan yang diberikan antibiotik tersebut, maka kandungan antibiotik di dalam badan akan menjadi terlalu tinggi dan toksik kepada badan.

“Serupa juga dengan pengambilan kafein. Ianya sejenis dadah yang memberi kesan kepada otak dan akan menyebabkan gejala ketagihan jika ditinggalkan,” jelasnya.

Menurutnya, kafein di dalam satu cawan kopi (sehari) masih boleh diterima tetapi tiga cawan kopi akan menyebabkan gangguan fungsi otak.

Dalam makanan luar, makanan diproses atau makanan segera, wujud pula satu bahan baru yang berbahaya iaitu asid lemak trans atau lemak berhidrokarbon. Bahan ini kebiasaannya dicampur di dalam makanan diproses untuk meningkatkan hayat atas rak produk tetapi dipercayai meningkatkan risiko penyakit jantung koronari.

Dr. Abdul Rahman menyatakan asid lemak trans juga dibenarkan untuk diguna dalam kuantiti yang kecil di dalam produk makanan oleh pihak berkuasa.

“Masalah untuk bahan ini juga serupa iaitu apabila beberapa jenis makanan diproses yang mengandunginya diambil serentak, ini akan meningkatkan jumlah asid lemak trans yang terkumpul di dalam badan.

“Di rumah, minyak masak biasa juga boleh bertukar menjadi asid lemak trans jika digunakan berkali-kali. Oleh itu, adalah lebih baik minyak masak hanya digunakan sekali,” ujarnya.

Menurut beliau, satu peraturan perlu ditetapkan supaya jumlah asid lemak trans dinyatakan pada bungkusan produk makanan yang menggunakannya.

Katanya, dengan ini pembeli dapat mengira jumlah asid lemak trans yang terkumpul daripada pelbagai produk makanan yang diambil, seterusnya mengelakkan salur darah yang tersumbat.

Cadangan meletakkan jumlah kandungan bahan kimia ini juga wajar diwajibkan untuk semua jenis kimia yang digunakan di dalam setiap produk makanan. Namun, pengguna juga perlu mengamalkan membaca kandungan produk makanan sebelum membelinya bagi mengelakkan pengambilan terlalu banyak bahan kimia.

Dr. Abdul Rahman menegaskan pengguna perlu menjarakkan pengambilan makanan diproses dan dalam kesederhanaan bagi mengelakkan pengumpulan bahan kimia berbahaya dalam badan.

“Cara terbaik adalah untuk memasak makanan sendiri dan mengelakkan makanan diproses sebanyak mungkin.

“Masak sendiri, pilih apa yang dimasukkan ke dalam hidangan dan seterusnya mengelakkan penggunaan bahan kimia yang tidak perlu (dan tidak bermanfaat),” jelasnya.

Beliau bagaimanapun turut memperakui makanan diproses dan makanan luar sudah bersebati dengan gaya hidup kini, sehinggakan ada yang tidak dapat hidup tanpanya.

Pilih sendiri

Pelbagai amalan dan cara pemakanan rakyat Malaysia kini tidak memanfaatkan diri malahan mungkin memudaratkan kesihatan dan kualiti hidup kelak. Perlu diingat bahawa bahan kimia mahupun pencemaran kuman hanya akan membahayakan jika ia dimakan. Penekanan dalam pemilihan makanan amat penting bagi mengelakkan makan berisiko atau berbahaya.

Oleh itu, bukan sahaja penting untuk kita mengenali bahan yang terkandung atau ditambah di dalam makanan yang diambil malahan tidak kurang pentingnya mengawal cara pemakanan harian. Walaupun makanan yang dipilih tiada bahan tambahan atau kimia, tetapi ia tetap perlu seimbang bagi mengelakkan pengumpulan nutrien yang berlebihan, terutamanya lemak dan gula.

Dr. Abdul Rahman menyatakan cara pemakanan ramai rakyat negara ini hanya mahu makan dan tidak mementingkan jumlah kalori yang diambil.

“Majoriti makanan yang diambil dalam hidangan keluarga di Malaysia mengandungi gula dan kalori yang banyak.

“Hidangan banyak yang berasaskan daging (ayam, daging, ikan) dan kurang sayur atau buah. Selalunya hanya satu sahaja hidangan sayur (jika ada) dan jarang sekali ada hidangan buah,” katanya.

Menurut beliau, mereka yang kerap melangkah waktu makan akan mengambil sejumlah makanan yang banyak apabila tiba waktu makan.

Dr. Abdul Rahman menekankan jika tidak dapat mengelak daripada membeli atau makan makanan luar, tegaskan apa yang anda mahu dan tidak mahu dalam hidangan yang dipesan.

“Ubah cara pemikiran! Pilihan di tangan pembeli yang mengeluarkan wang sendiri dan berhak menuntut nilai wang yang dibelanjakan. Oleh itu, peniaga perlu menyesuaikan cara jualan mereka.

“Makanan segera juga ada yang menghidangkan hidangan seimbang, tetapi pembeli sering memilih hanya apa yang sedap dimakan. Pilih menu anda sendiri (yang menyihatkan) kerana anda adalah apa yang anda makan,” tegasnya. Pilih makanan anda

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.