Wanita Mesir lahir kembar tujuh


Seorang wanita Mesir berusia 27 tahun, selamat melahirkan bayi kembar tujuh melalui pembedahan di Hospital El-Shatbi, Iskandariah, awal semalam.

Pengarah hospital, Emad Darwish, berkata Ghazala Khamis, berada dalam keadaan stabil walaupun wanita itu memerlukan pemindahan darah tambahan berikutan masalah yang dihadapinya ketika pembedahan.

Beliau berkata, bayi berkenaan - empat lelaki dan tiga perempuan - kini ditempatkan dalam inkubator di empat buah hospital berasingan, berikutan dilahirkan tidak cukup bulan.

“Kehamilan seperti ini amat jarang berlaku dan saya sendiri tidak pernah menyaksikannya sejak menyertai bidang perubatan 33 tahun lalu,” katanya.

Emad juga memberitahu, pihak hospital mengambil keputusan melakukan pembedahan pada akhir bulan kelapan usia kehamilan, berikutan tekanan yang terlalu kuat kepada rahim dan buah pinggang Ghazala.

Katanya, berat purata berat ketujuh-tujuh bayi adalah antara 1.45 kilogram dan 2.8 kilogram. Ghazala, isteri seorang petani dari wilayah Beheira di utara Mesir.

Dia sudah mempunyai tiga orang anak perempuan dan dimasukkan ke hospital dua bulan lalu.

Sementara itu, laporan bancian terbaru menunjukkan jumlah penduduk Mesir meningkat tiga kali ganda kepada 76 juta orang pada 2006.

Pada musim panas ini, kerajaan Mesir melancarkan kempen kesedaran baru mengenai kesan peningkatan jumlah penduduk di negara itu.

Mac lalu, Presiden Hosni Mubarak, menyalahkan jumlah penduduk berlebihan sebagai punca kekurangan roti yang teruk dan menjejaskan berjuta-juta penduduk miskin di negara itu.

- AP

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.