Russia serang Georgia


Ketegangan konflik Russia-Georgia yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu kini menghampiri wilayah kedua, Abkhazia dan menyaksikan seorang jeneral Russia semalam memberi kata dua kepada tentera Georgia yang berkumpul di kawasan itu meletak senjata atau berdepan serangan tentera Moscow.

Kata dua itu dibuat ketika Russia memperhebatkan serangan ke atas Georgia semalam, tanpa menghiraukan gesaan supaya gencatan senjata diadakan serta ancaman diplomatik oleh sekutu Georgia, Amerika Syarikat.

Ketua Majlis Keselamatan Georgia Alexander Lomaia berkata Jeneral Serbei Chaban yang bertanggungjawab ke atas pasukan pengaman Russia di Abkhazia, menyalurkan amaran berkenaan menerusi pasukan pemerhati tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memantau kawasan berkenaan.

Tindakan Russia itu menjadi petunjuk utama merebaknya konflik Russia-Georgia yang meragut lebih 2,000 nyawa selepas peperangan meletus di bekas wilayah Georgia, Ossetia Selatan, Jumaat lalu.

Stesen televisyen Russia, NTV menunjukkan Chaban mengadakan rundingan dengan pegawai Georgia di zon penampan tentera yang memisahkan kawasan Gali di Abkhazia dengan wilayah Zugdidi, Georgia.

Chaban berkata, seramai 9,000 askar tambahan Russia dan 350 kereta perisai sudah tiba di Abkhazia bagi menyokong tentera pengaman Russia di situ.

"Tentera Russia juga melakukan persiapan untuk memastikan tentera Georgia melucutkan senjata di utara, iaitu di Kodori George," katanya.

Kodori George adalah satu-satunya kawasan Abkhazia masih di bawah pentadbiran kerajaan Georgia.

Biarpun sebahagian besar askar Georgia bertumpu di kawasan timur berhampiran Ossetia Selatan, sukar sebenarnya bagi tentera Georgia mematahkan kemaraan tentera Russia dekat Abkhazia yang terletak di barat Laut Hitam.

Abkhazia dan Ossetia Selatan, masing-masing mentadbir negara sendiri selepas mengalahkan askar Georgia dalam peperangan pada awal 1990-an. Kemerdekaan mereka bagaimanapun tidak diiktiraf pihak antarabangsa.

Russia sebaliknya bertindak menghantar pasukan pengamannya dan memberikan pasport kepada sebahagian besar penduduk wilayah berkenaan.

Georgia yang kecil dan juga sekutu utama Amerika Syarikat, mencetuskan kemarahan Russia apabila berhasrat menyertai blok Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Georgia turut menuduh Russia cuba menguasai dua wilayah berkenaan.

Georgia melancarkan serangan Jumaat lalu bagi menawan semula Ossetia Selatan yang menyaksikan Russia bertindak balas dengan mengerah tenteranya ke kawasan bergolak itu. Ini menyebabkan sebahagian besar tentera Georgia berundur meninggalkan kawasan berkenaan kelmarin, berikutan pertempuran sengit.

- AFP

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.